10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama iaitu
* ALLAH menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
* ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
* Diciptakan lautan pada 10 Muharram
* Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
* Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
* Diciptakan Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
* Dimasukkan Nabi Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
* Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
* Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
* Diselamatkan anaknya Nabi Ismail a.s. dari sembelihan pada 10
Muharram
* Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
* Diampunkan kesilapan Nabi Daud a.s. pada 10 Muharram
* Dilahirkan Nabi Isa a.s. pada 10 Muharram
* Dikeluarkan Nabi Yunus a.s. daripada perut ikan Nun setelah berada di
dalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram 15
* Disembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s. pada 10 Muharram
* Diangkat Nabi Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
* Diterima taubat Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
* Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Nabi Sulaiman a.s.
* Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
* Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
* Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
* Pada hari inilah Nabi Musa dan pengikutnya telah diselamatkan oleh Allah
daripada musuh mereka.
* Pada hari ini juga tercatat peristiwa pahit dalam sejarah Islam iaitu
pembunuhan kejam ke atas tubuh yang mulia Sayyidina Husin yang
merupakan cucu kesayangan Rasulullah S.A.W di bumi Karbala.
Pembunuhan yang kejam ini dilakukan oleh Syiah Kuffah bukannya oleh
tentera Yazid bin Mu’awiyah sebagaimana didakwa oleh sesetengah
pihak.
Walau pun adanya mazhab Syiah yang menyatakan bahawa pada hari ini tidak boleh berpuasa kerana kita semua mesti bersedih dengan pembunuhan Sayyidina Hussin pada 10 Muharram. Kita jawab balik kepada pendapat mereka bahawa kita semua disunatkan berpuasa pada setiap hari Isnin sedangkan pada hari Isnin merupakan hari kewafatan junjungan besar Muhammad S.A.W yang lebih besar kesedihannya tetapi kita semua tetap berpuasa sunat pada hari tersebut.
Disini dibawa beberapa hadis yang sohih mengenai kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.
Daripada Ibnu Abbas telah berkata :
Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya yang bermaksud : Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini.
- Telah dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud -
Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya.
- Diriwayatkan oleh imam Tarmizi -
Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari ‘Asyura tahun haji di atas mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama’ kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari ‘Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah.
- Dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud -
Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada hari ‘Asyura. Ulama’ juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan Muharram iaitu Hari Tasu'a bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari kesepuluh Muharram.Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang zalim. Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan.
~ Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
~Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
PERINGATAN
Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram( Hari Asyura ) hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 ( Hari Tasu'a ) atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
Kelebihan dan Fadilat lain .
Barangsiapa yang berpuasa pada 10 Muharram maka pahalanya seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.
Pada malam 10 Muharram pula,sekiranya ia bersedekah kepada seorang miskin maka ganjaran pahala seolah-olah dia bersedekah kepada semua orang miskin dimuka dunia ini
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa barang siapa yang berpuasa pada hari Asyura, Allah akan memberi pahala — 10,000 haji dan umrah dan 10.000 orang syahid.
Sunat pula bagi orang yang berpuasa membanyakkan sedekah kepada anak-anak yatim dan tangannya menyapu kepada anak yatim, nescaya Allah mengangkat darjatnya ke syurga kelak.
Ibnu Abbas meriwayatkan barangsiapa berpuasa maka Allah akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat
Ibnu Abbas meriwayatkan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Assyuuraa',maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW. dan mengenyangkan perut mereka.
Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun-tahun yang lalu.Semoga kita dapat menggunakan segala peluang yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.
Related Posts :

No comments:
Post a Comment